Remaja Perempuan Tertekan Hilangkan Diri

KUALA LUMPUR: Seorang remaja perempuan yang tertekan dengan rakan-rakan sekolah kerana sering bertanyakan tentang ibunya yang tidak ditem...


KUALA LUMPUR: Seorang remaja perempuan yang tertekan dengan rakan-rakan sekolah kerana sering bertanyakan tentang ibunya yang tidak ditemui semenjak 2008, menghilangkan diri sejak awal pagi Selasa.

Bapanya, Mohd Norjuahari Nazar Nazari, 38, berkata Aliaa Syafiqah Nazar, 13, yang tinggal bersama keluarganya di Bandar Baru Bangi, disedari hilang kira-kira 10 pagi Selasa selepas didapati tiada di dalam bilik tidurnya.

Mohd Norjuahari berkata anak sulungnya itu yang merupakan pelajar Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Islam Al Amin, Bangi, kali terakhir dilihat di perkarangan sekolah dengan berbaju merah jambu, bertudung labuh berwarna jingga dan berpurdah, berseluar jeans serta memakai beg sandang.


"Pemeriksaan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekolahnya menunjukkan Aliaa memakai purdah berwarna krim berseorangan di luar sekolah kira-kira 7.50 pagi Selasa...saya hairan kerana selalunya dia tidak mengenakan purdah," katanya ketika dihubungi di sini Selasa.

Mohd Norjuahari berkata anaknya itu pernah meminta untuk ditukarkan ke sekolah lain kerana mengadu tertekan dengan rakan-rakan sekolah yang kerap bertanyakan tentang ibunya yang telah lama berpisah dengan beliau.

"Saya telah aturkan perpindahan sekolah untuknya pada sesi tahun depan... mungkin dia terlalu tertekan sehingga menghilangkan diri," katanya.

Menurutnya, ibu Aliaa yang tinggal di Ampang memaklumkan ada menerima mesej daripada Aliaa menerusi aplikasi Whatsapp yang menyatakan hasrat ingin bertemunya pada Selasa, namun Aliaa gagal dikesan selepas nombor telefon digunakannya gagal dihubungi.

Susulan itu, Mohd Norjuahari berkata satu laporan polis dibuat oleh datuk Aliaa di Balai Polis Bandar Baru Bangi, berhubung kehilangan remaja itu.

Selain itu, katanya, beliau telah menyebarkan gambar Aliaa di laman sosial untuk meminta bantuan orang ramai mengesannya.

Katanya orang ramai yang melihat Aliaa boleh menghubunginya di talian 018-6624450.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Othman Nanyan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu, dan kehilangan remaja berkenaan kini masih dalam siasatan.

Sumber - BERNAMA

Artikel Berkait

semasa 838005025722664009

Post a Comment

emo-but-icon

item