Zoom Info - Bala apabila kita leka

Setakat Jumaat semuanya masih dalam teka-teki. Tetapi sudah ada harapan bahawa pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu, mungkin dikesan d...

Setakat Jumaat semuanya masih dalam teka-teki. Tetapi sudah ada harapan bahawa pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu, mungkin dikesan dan ditemui dalam masa terdekat ini.

Seperti dilaporkan seluruh dunia, imej satelit dari Australia berjaya mengesan dua objek terapung di selatan perairan Lautan Hindi, dipercayai mempunyai kaitan dengan pesawat MAS yang ghaib itu.

Menurut Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, imej yang dirakam satelit tersebut merupakan satu petunjuk yang paling boleh dipercayai berbanding petunjuk-petunjuk lain yang diperoleh sebelum ini.

Imej satelit tersebut mengesan pesawat dengan 239 penumpang itu tenggelam di laut dalam pada kedudukan 2,500km dari barat daya Perth.

Biarpun (setakat Jumaat) maklumat mengenai penemuan objek tersebut belum dapat disahkan oleh mana-mana pihak, penemuan terbaharu itu seolah-olah memberi kelegaan kepada semua orang yang menunggu lebih dua minggu.

Teruslah berdoa semoga petanda terbaharu itu dapat merungkai misteri MH370.

Serentak dengan terungkainya misteri MH370, hujan pun mula turun di beberapa kawasan seluruh negara, termasuk di Lembah Klang. Ada yang bermain hujan di luar rumah dan di taman awam, bagaikan melepas rindu terhadap air dari langit itu.

Beribu-ribu penduduk yang keluh kesah dan sengsara akibat catuan air, kini berasa lega sebab paip di rumah mereka yang selama ini kering sudah berair. Tidur malam pun tidak lagi kepanasan.

Tidak sahaja manusia, haiwan yang kepanasan selama ini pun mula segar disimbah hujan. Hatta tumbuhan dan rumput yang selama ini kuning kekeringan pun dapat menikmati hujan. Sama seperti manusia, seluruh isi alam bertasbih untuk kesejahteraan.

Ada orang berkata turunnya hujan sehari dua ini adalah kejayaan Jabatan Meteorologi memproses hujan tiruan dalam operasi pembenihan awan.

Daripada pemantauan imej radar, hujan mula turun di kawasan Gombak dan Hulu Langat, Selangor.

Memang usaha menggunakan teknologi moden telah memungkinkan hujan turun. Tetapi, jangan lupa – dan jangan angkuh! – sebab betapa canggih pun teknologi, semuanya tidak akan menjadi sekiranya tanpa kehendak Yang Maha Berkuasa.

Ingatlah sama ada hujan tiruan atau hujan asli semuanya adalah ciptaan Allah.

Meski yang hilang telah ditemui, dan yang kekeringan telah dibasahi, kita tidak boleh terus bersantai seolah-olah bala telah pergi. Ujian daripada Allah boleh datang tanpa amaran, pada bila-bila masa.

Apabila manusia mula lupa diri dan membuang hukum-hakam agama, bersedialah untuk menerima bala yang lebih teruk. Tanda-tanda semakin jelas bahawa kita semakin mengabaikan apa dituntut, dan melakukan apa yang ditegah.

Contoh, sesama ulama bertelagah – sesetengahnya kerana politik – menyebabkan perpecahan ummah. Ada puak menolak hadis, ada yang mencipta mazhab baharu, malah ada mengaku diri sebagai tuhan.

Contoh lagi, semakin ramai memungkiri amanah. Sana-sini rasuah melata, sesetengahnya jelas di hadapan mata. Penyalahgunaan kuasa sudah bagaikan budaya.

Banyak yang tidak kena tetapi tidak diperbaiki. Kita telah melihat banyak negara musnah
apabila penyelewengan tidak dibendung.

Contoh lagi, sebahagian kita leka dan khayal dengan hiburan. Konsert gila-gila dari barat dibawa ke sini – terkini “Future Music Festival Asia 2014” yang menyaksikan 6 maut akibat mengambil dadah berlebihan.

Semua tahu hiburan yang keterlaluan adalah memudaratkan, tetapi kerajaan Islam kita terus menyokong, bersekongkol dan merestui hiburan yang bebas pergaulan, bebas apa sahaja.

Sekiranya kita mengingkari Allah, pasti kita akan ditimpa bala. Ini sudah dibuktikan, dan diulangi sejak awal kejadian dan tamadun manusia. Insaflah!

Akhir kalam, mungkin kerana tidak tegas dan rasuah pihak berkuasa, negara kita menjadi tempat berlindung pendatang asing. Masuk menggunakan visa pelajar atau visa pelancong, tetapi melakukan jenayah dan maksiat.

Seperti diberitahu di Parlimen, sebanyak 5,217 kes tinggal lebih masa dan sebanyak 57 kes salah guna pas telah dikendalikan Jabatan Imigresen bagi tempoh 2010 hingga 2013.

Jumlah Pati pun beratus ribu orang. Ada yang jadi GRO. Tangkap hari ini, esok muncul semula. Maksiat lagi!

Tok Perak

Sumber – sinarharian.

Artikel Berkait

Zoom Info 6095150203839459223

Post a Comment

emo-but-icon

item