Zoom Berita - [MH370] Orang Ramai Luah Kesedihan di Laman Sosial
KUALA LUMPUR – Seluruh negara diselubungi perasaan sedih ekoran pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam Isnin bahawa pen...
https://malayazoom.blogspot.com/2014/03/zoom-berita-mh370-orang-ramai-luah_26.html
KUALA LUMPUR – Seluruh negara diselubungi perasaan sedih ekoran pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam Isnin bahawa penerbangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu telah berakhir di Lautan Hindi.
Rakyat Malaysia menggunakan media sosial untuk meluahkan perasaan mereka dan turut berkongsi kata-kata semangat dengan keluarga penumpang pesawat.
Banyak yang menukar gambar profil di laman Twitter, Facebook dan Instagram kepada warna hitam sebagai tanda berkabung.
Antara yang menyampaikan mesej di laman Twitter ialah anak perempuan kepada ketua pramugara pesawat malang itu Andrew Nari, yang turut memuatkan gambar bapanya.
Maira Elizabeth menulis “I don’t know what to say, what to think. I feel so lost, so blank. I’m just so tired. Goodnight, daddy. Sigh.. * hugs *.
“How am I so strong? How can I still smile? One answer for your questions. Because I believe in God with all my strength and faith.”
Beliau juga menerima perangsang daripada pengguna laman itu di seluruh dunia.
Anak kepada juruterbang Kapten Zaharie Ahmad Shah turut berkongsi rasa terharu dengan sokongan dan kata-kata semangat dari sahabat serta kenalan bapanya.
Di laman Facebook ‘Friends of Captain Zaharie MH370′, Ahmad Idris Zaharie menulis “thank you all for the doa n support….dariNya kita datang..kepadaNya kita kembali…Aku bersyukur kepadaMu Ya Allah kerana telah meminjamkan aku seorang ayah yang berdidikasi dan penyayang selama 31 tahun aku ini..Al-Fatihah.”
Mohaza MohaZa yang dipercayai kenalan rapat kepada Zaharie menulis “Zaharie (Arie)..Jika ini lah suratan takdirnya..Mengerti lah saya kini apa yang diucapkan oleh mu pada saya di pagi Hari Raya Aidilfitri tahun lalu (di tanah perkuburan, Jalan Perak, Pulau Pinang). Rupa-rupanya ia adalah satu tanda kiasan dari mu yang kau akan pergi meninggalkan semua.
“Zaharie beritahu saya (secara gurauan) yang saya tidak akan jumpa kubur/pusaranya. Ini lah rupa maksudnya. Baru saya mengerti…Pusaranya di Lautan Hindi. Al-Fatihah.. Moga Allah SWT mencucuri setinggi-tinggi rahmat ke atas rohnya & juga muslimin muslimat MH370 kesemuanya & di tempatkan bersama-sama mereka yg beriman. Amin.”
Tiga individu penting yang sering memberi sidang media kepada wartawan tempatan dan antarabangsa berhubung kehilangan pesawat iaitu Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Ahmad Jauhari Yahya dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman turut mendapat perhatian.
Seorang pengunjung blog tengoktvonline.blogspot.com, Ejan Zaiejan antara lain memberi penghargaan: “…tabik hormat saya untuk Datuk Seri Hishammuddin Hussin, Datuk Azaharuddin, En Ahmad Jauhari Yahya kerana telah mengharungi detik-detik dihentam dengan semua persoalan dari media dan berhadapan dengan dunia. Saya bangga dengan anda bertiga.”
Hishammuddin sendiri turut membuat tweet: “Today – let us Malaysians of all race, religion, background and wherever we maybe pray for the passengers,crew and family of #MH370.
Yang turut menulis ialah Timbalan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia, Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin: “Many did not slept well, me included. Sadness. Many more unknowns. Need to remain focus to find #MH370. Our thoughts & prayers. Al-Fatehah.”
Sementara itu suara-suara penyampai di corong radio yang selalunya ceria di pagi hari bertukar menjadi pilu sambil memberi kata-kata semangat untuk keluarga penumpang dan anak kapal pesawat, di samping tidak lupa memutar bacaan zikir dan ayat Al-Quran. – BERNAMA