Zoom Selebriti - Impian Zizan Buka Restoran Burger Tercapai

KUALA LUMPUR, 28 OKT 2013: Pengacara, pelakon dan pelawak Zizan Razak sentiasa mengimpikan untuk memiliki sebuah restoran sendiri. Tetapi, k...

KUALA LUMPUR, 28 OKT 2013: Pengacara, pelakon dan pelawak Zizan Razak sentiasa mengimpikan untuk memiliki sebuah restoran sendiri.

Tetapi, kekangan waktu dan kesibukan bekerja membuatkan niat Zizan tertangguh dan impiannya itu terpaksa diketepikan seketika.

Namun baru-baru ini, impian hos AF2013 itu menjadi nyata apabila pada pertengahan 2013, Encik Rostam Affendy Abd Rahim yang kini merupakan rakan niaganya telah mempelawa untuk menjadi rakan kongsi dan mengusahakan restoran bersama.

Menurut Zizan atau nama sebenarnya Razizan Razak, dia mula tertarik dengan menu Burgerbyte yang berpangkalan di Sentul selepas melihat hidangan yang disediakan restoran berkenaan ringkas dan lazat selain konsep restorannya yang santai dan selesa.

“Saya memang suka makan burger, di Burgerbyte saya lihat konsep hidangannya pelbagai jenis dan itu membuatkan hati saya terbuka untuk membuka restoran ini secara francais.

“Saya pula memang dah lama pasang niat untuk membuka perniagaan makanan, apabila Rostam pelawa saya, saya tak tunggu lama untuk menerima pelawaan beliau. Alhamdulillah, impian saya akhirnya terlaksana.

“Saya juga nekad menjadikan perniagaan restoran itu secara francais selepas kagum dengan keaslian rasa masakan Barat daripada sebuah restoran yang diusahakan orang Melayu,” katanya.

Zizan ditemui pada majlis pelancaran Restoran Burgerbyte miliknya di Damansara Perdana, dekat sini pada malam Sabtu.

Tambah Zizan, kesibukan dengan kerja-kerja lakonan juga tidak penghalang untuk dirinya mengusahakan perniagaan tersebut.

“Saya percaya apabila mempunyai tanggungjawab dalam perniagaan, sibuk macam mana sekalipun kita mesti buat.

“Mungkin saya tidaklah berada di restoran dari pagi sampai malam tetapi sekurang-kurangnya saya akan mencuri masa untuk menguruskan Burgerbyte sebaik mungkin,” ujarnya.


Dalam pada itu, beritahu Zizan, restoran yang diusahakannya itu mempunyai sebanyak 62 jenis masakan, malah Zizan turut menambah beberapa menu lain sebagai memberi kelainan berbanding cawangan lain.

Burgerbyte menawarkan kepelbagaian menu masakan Barat dan pada masa sama turut mempunyai menu citarasa masyarakat Malaysia.

Sehingga kini, Burgerbyte mempunyai tiga cawangan iaitu di Sentul, Senawang serta Damansara Perdana.

Sementara di Sri Iskandar Perak, Bangi, Semenyih dan Bukit Beruang, Melaka masih dalam proses pembikinan.

Artikel Berkait

Zoom Selebriti 3878412551268788958

Post a Comment

emo-but-icon

item